Datuk Azhar Azizan Harun menolak dakwaan kononnya beliau berpihak kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat itu menjelaskan, beliau hanya menjalankan tugas mengikut kuasa yang diberi demi memastikan Dewan Rakyat dapat berfungsi serta berlangsung dengan baik dan tersusun.

"Saya hanya menjaga masa. Itu sahaja penjelasannya. Saya juga tidak bercakap bagi pihak Menteri Kewangan.

“Saya tidak mahu ia dipolemik dan menjadikan apa yang saya lakukan sebagai polemik. Saya tidak boleh buat itu dan saya tidak akan buat.

"Saya menerima semua kritikan. Apa yang boleh saya lakukan? Ini adalah tugas saya," katanya.

Sebelum ini Azhar dikatakan memihak kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Dalam pada itu, Azhar berkata pihaknya sedang meneliti reformasi institusi Parlimen dan akan meneruskan inisiatif reformasi yang sesuai dengan perancangan yang lebih rapi dan akan menambah baik segala yang didapati perlu.

"Saya ingin melihat kematangan dalam sesi dewan secara berterusan dan saya berterima kasih kepada semua pihak terutama semua ahli Yang Berhormat yang membantu saya melancarkan sidang dewan ini," ujarnya.

Terdahulu, Azhar menyampaikan sumbangan makan tengahari kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang sesi perbahasan Dewan Rakyat.