SIK: Siasatan yang akan dijalankan pihak berkuasa membabitkan isu rakaman audio yang didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diyakini akan dibuat secara profesional serta adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan isu berkenaan kepada pihak polis berikutan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan.

"Saya yakin dan percaya kalau ada keperluan untuk disiasat malahan Ketua Polis Negara sudah nyatakan dia akan siasat (dan) panggil pihak buat laporan atau pihak yang terlibat, itu serah kepada pihak polis, saya yakin pihak berkuasa menjalankan tugas dengan profesional tanpa memihak (serta) tanpa sebelahi mana mana pihak," katanya ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Sik dan Baling di Dewan Gemilang, di sini pada Ahad.

Audio Tular | Siasat secara profesional

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menyatakan bahawa insiden penularan audio berkenaan tidak sesekali menjejaskan hubungan antara parti itu dan UMNO serta parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Hubungan individu dengan individu tidak jejaskan organisasi parti, itu yang penting, kadang-kadang antara pemimpin (ada isu) tetapi (hubungan antara) parti itu sendiri masih berjalan dengan baik, saya rasa itu keadaan yang ada ketika ini, dalam kerajaan (PN) bersatu ada, UMNO ada, Pas ada, GPS ada, jadi ini menggambarkan hubungan organisasi dan kerajaan adalah begitu mantap tanpa dijejaskan oleh mana-mana insiden atau perkara yang libatkan individu (tertentu)," katanya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Anwar nafi terbabit dalam audio tular perbualan bersama Zahid

Terdahulu, polis dijangka memanggil Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan kes berhubung rakaman audio yang tular didakwa mirip suara dua pemimpin itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Jelasnya, kedua-duanya perlu tampil membuat laporan polis, jika benar rakaman tersebut berbentuk fitnah.

Audio tular | Kalau betul, apa masalahnya? - Anwar