JOHOR BAHRU: Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-24 hari ini, menyatakan komitmen memperkukuh hubungan pelancongan serantau dan meningkatkan sosioekonomi negara-negara terlibat.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat komited memperkukuh kerjasama pelancongan serantau melalui pelan tindakan strategik dan kempen pemasaran bersama.
  • Fokus diberikan kepada pendigitalan, peningkatan kemahiran profesional, dan persediaan ASEAN Tourism Sectoral Plan (ATSP) Pasca 2025.
  • Mesyuarat ini melibatkan ASEAN, China, Jepun, dan Korea Selatan, dipengerusikan oleh Datuk Seri Tiong King Sing sempena ASEAN Tourism Forum (ATF) di Johor Bahru.


Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, mesyuarat antara lain membincangkan pelaporan program dan aktiviti di bawah ASEAN Plus Three (APT) Tourism Cooperation Work Plan 2021-2025.

Selain itu, ia turut memberi penekanan terhadap persediaan untuk ASEAN Tourism Sectoral Plan (ATSP) Pasca 2025, serta peluang kerjasama dalam bidang seperti pelaksanaan kempen pemasaran pelancongan bersama, peningkatan kemahiran profesional, mempromosikan agenda pendigitalan, dan pertukaran pengetahuan dalam pengurusan destinasi.

“Mesyuarat ini dijangka menghasilkan pelan tindakan strategik yang mampu meningkatkan lagi kerjasama serantau dalam pelancongan, sejajar dengan usaha menjadikan rantau ASEAN tambah tiga sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

“Semua pihak yang terlibat diharapkan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan sektor pelancongan serantau kekal mampan, inklusif, dan berkembang secara lestari demi manfaat bersama,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat ini melibatkan penyertaan negara-negara ASEAN bersama tiga rakan dialog utama, iaitu China, Jepun, dan Korea Selatan.

Ia dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sempena ASEAN Tourism Forum (ATF) yang dianjurkan di Johor Bahru pada Ahad.

ATF 2025 yang bermula sejak Rabu hingga 20 Januari ini dianjurkan bagi mempromosikan produk pelancongan serantau dan memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan.

Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlan pelancong yang mengunjungi ASEAN.