Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan terus diberi kepercayaan sebagai Menteri Mentor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Timbalan Menteri Mentor USIM.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM, Mohd Zaini Othman berkata pelantikan kedua-dua tokoh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu adalah untuk tempoh dua tahun, sehingga 2018.

Beliau berkata pemilihan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lepas dan pihak USIM dimaklumkan mengenai pelantikan itu melalui surat rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, baru-baru ini.

"Menteri Pendidikan Tinggi turut menyatakan bahawa hubungan erat di antara Menteri dan Timbalan Menteri Mentor bersama warga universiti awam Malaysia akan meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan tinggi di negara ini" katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menjalankan tugas selaku Menteri Mentor USIM dengan cemerlang sejak 2014 dan telah merintis pelbagai kerjasama strategik di antara USIM dan kerajaan negeri dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, libat sama komuniti, sukan dan pengantarabangsaan.

Katanya antara kerjasama berimpak tinggi ialah penubuhan Klinik Pakar Kesihatan USIM di Nilai Square, Bandar Baru Nilai dan Klinik Pakar Mata Bergerak (KlipMobile) yang memberi rawatan mata khususnya kepada warga emas di seluruh daerah Negeri Sembilan.

Pelantikan Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi selaku Timbalan Menteri Mentor pertama USIM pula disambut baik pengurusan dan warga USIM bersesuaian dengan aspirasi universiti ini sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli sebagai gagasannya, katanya.

"Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi merupakan graduan cemerlang semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selain memiliki Sarjana Ekonomi, perbankan dan Kewangan Islam serta Doktof Falsafah (PhD) perbankan dan kewangan Islam dari Loughborough University, United Kongdom.

Beliau juga mempunyai latar belakang kepimpinan yang hebat dipelbagai peringkat terutamanya ketika menyandang jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islmaiah Malaysia (YADIM), selain dihormati kepakarannya dalam bidang kewangan Islam," katanya.

Mohd Zaini berkata pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Mentor ini secara langsung memberi kebaikan kepada pengurusan dan mahasiswa USIM kerana mempunyai hubungan langsung dengan kepimpinan di peringkat negeri dan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai agenda dan perancangan bagi melonjakkan nama USIM di persada pendidikan tinggi di dalam dan luar negara.

Di samping itu, katanya kecemerlangan akademik dan nilai kepimpinan tinggi yang dimiliki oleh tokoh berkenaan dapat dijadikan inspirasi dan contoh teladan buat mahasiswa USIM. -- BERNAMA