PUTRAJAYA: Sebuah unit sistem robotik berat MVF-5 Dok-ing antara aset terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditampilkan pada perbarisan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Ketua Unit Komunikasi dan Pemantauan Media Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM DSP Mohd Firdaus Ramli berkata penampilan pertama aset itu sebagai sebahagian daripada tarikan dan kelainan perbarisan kontinjen Sang Saka Biru tahun ini.

"Aset terbaharu PDRM ini digunakan untuk pelbagai misi untuk tindak balas kecemasan sebagai membantu responder pertama melaksanakan tugas dalam keadaaan paling getir dan mencabar serta mengancam nyawa.

"Selain tugas pemusnahan bahan letupan, kenderaan robotik ini juga boleh digunakan untuk pemadaman kebakaran dan pembersihan bahan kimia berbahaya, malah berupaya merentasi sebarang halangan kebakaran dan keadaan ekstrem," katanya kepada Bernama.

Tambahnya aset tersebut buat masa ini belum digunakan lagi kerana ia hanya akan digunakan apabila berdepan dengan ancaman yang besar.

"Aset terbaharu ini adalah penambahan kepada segala aset sedia ada PDRM bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan dalam mencegah ancaman," katanya.

Perbarisan Kontinjen PDRM tahun ini menyaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengetuai kontinjen itu, selepas membuat penampilan sulung pada tahun lepas bersama "detachment" Unit Berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan.

Mohd Firdaus berkata pada sambutan tahun ini, kontinjen PDRM melibatkan 981 pegawai dan anggota, 49 aset haiwan terdiri daripada kuda dan anjing terdiri daripada baka German Shepherd dan Labrador serta 46 aset kenderaan.

"Aset kenderaan yang kita bawa pelbagai jenis antaranya BWM RT 1250cc, Kawasaki GTR 1400, Yamaha FJR 1300P 4, kereta peronda, pacuan empat roda (4x4) dan dua buah unit Water Canon jenis Scania dan kenderaan pemerintah jenis Scania.

"Selain itu, sebuah aset udara PDRM iaitu helikopter jenis AW139 turut terlibat dalam lintas hormat iaitu formasi pertunjukan udara gabungan bersama agensi lain," katanya.

-- BERNAMA