Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia bakal menjadi kerangka hala tuju dalam mendukung aspirasi digital dan mengukuhkan kerjasama serantau dalam membangunkan sektor digital ASEAN.
Jelasnya, ASEAN akan bergerak secara blok dalam meneraju ekonomi digital yang dipacu khidmat digital, teknologi selain ekosistem yang selamat dan transformatif.
"Meningkatkan kualti dan liputan infrastruktur jalur lebar tetap dan mudah alih, yang merupakan komponen pertama saya sebutkan tadi, dilihat sebagai keutamaan utama pada ketika ini.
"Kedua adalah keselamatan siber di mana hampir semua yang menyertai mesyuarat serta rakan dialog termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas berkenaan perkara tersebut," katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Sidang media seiring Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN1) itu dilakukan selepas ADM 2025 dilancarkan hari ini.
ADM 2025 dibangunkan dengan wawasan ASEAN sebagai blok peneraju komuniti dan ekonomi digital yang dipacu oleh perkhidmatan digital, teknologi dan ekosistem yang selamat dan transformatif.
Bagi mencapai Wawasan ini, ADM 2025 telah mengenal pasti lapan Matlamat Keberhasilan iaitu:
- Tindakan ADM 2025 yang mengutamakan pemulihan ASEAN daripada pandemik COVID-19;
- Peningkatan kualiti dan capaian infrastruktur jalur lebar tetap dan mudah alih;
- Penyampaian perkhidmatan digital yang boleh dipercayai dan pencegahan kemudaratan kepada pengguna;
- Pasaran yang berdaya saing dan mampan bagi penawaran perkhidmatan digital;
- Peningkatan kualiti dan penggunaan perkhidmatan e-kerajaan;
- Perkhidmatan digital untuk menghubungkan perniagaan dan menggalakkan perdagangan rentas sempadan;
- Peningkatan kemampuan perniagaan dan rakyat untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital; dan
- Masyarakat digital ASEAN yang inklusif.