PETALING JAYA: Hubungan perdagangan Malaysia dengan jiran serantau memasuki fasa baharu dengan pelancaran ASEAN Express, sebuah perkhidmatan kereta api kargo antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, Laos dan China.


Ringkasan AI
  • ASEAN Express: Pelancaran perkhidmatan kereta api kargo antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, Laos, dan China. Masa transit barangan hanya sembilan hari dari Malaysia ke Chonqing, China, berbanding 14 hingga 21 hari melalui laut. Menghubungkan laluan perdagangan baharu dan pelabuhan pedalaman seperti KNICD, Perlis Inland Port, Latkrabang Inland Port, dan Thanaleng Dry Port.
  • Potensi Perdagangan: Membuka peluang untuk lebih banyak aktiviti perdagangan antara Malaysia dan China. Potensi untuk merealisasikan Pan Asian Railway Network dengan lebih banyak perkhidmatan tren dan kerjasama rel.
  • Lokomotif Buatan Malaysia: Penggunaan lokomotif -pay-per-use- buatan Malaysia oleh KTMB. Enam lokomotif dan 204 gerabak dipinjam untuk perkhidmatan laluan pergi dan balik ASEAN Express setiap minggu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan kereta api itu dijangka mengurangkan masa transit barangan dengan ketara, iaitu hanya mengambil masa sembilan hari dari Malaysia ke Chonqing, China, selain dijangka turut membantu menjimatkan kos dalam jumlah yang signifikan.

Perkhidmatan itu akan menghubungkan laluan perdagangan baharu dan beberapa pelabuhan pedalaman termasuk Kontena Nasional Inland Clearance Depot (KNICD) di Selangor, Perlis Inland Port di Perlis, Latkrabang Inland Port di Thailand dan Thanaleng Dry Port di Laos sebagai hab perdagangan.

"Ini membuka satu lembaran baharu dalam perkhidmatan logistik negara kita dan ini akan membawa potensi yang cukup besar untuk lebih banyak aktiviti perdagangan berlaku antara negara kita dengan China.

"Saya rasa ia juga akan membuka peluang untuk kita merealisasikan apa yang kita selalu sebut sebagai Pan Asian Railway Network kerana apabila (laluan) ini dibuka, maka banyak lagi perkhidmatan tren lain atau kerjasama dari segi rel boleh dijalinkan," katanya ketika ditemui selepas perasmian dan perlepasan ASEAN Express di KNICD, pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, Timbalan Ketua Misi Republik Demokratik Laos ke Malaysia, Phetwilaychanh Souvannarath, Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Perkhidmatan baharu itu juga akan menyaksikan penggunaan lokomotif secara “pay-per-use” buatan Malaysia yang pertama oleh KTMB.

Sebanyak enam lokomotif dan 204 gerabak yang dihasilkan menggunakan kepakaran tempatan, SMH Rail, telah dipinjam oleh KTMB untuk perkhidmatan laluan pergi dan balik ASEAN Express setiap minggu.

Melalui hubungan hab ekonomi utama ini, KTMB juga berharap dapat memudahkan integrasi ekonomi yang lebih baik dalam kalangan jiran di samping memacu pembangunan dan kesejahteraan serantau.