KLANG: Konvensyen Bahasa Kolokial peringkat kebangsaan bagi mencari kesepakatan untuk melestarikan keberdayaan bahasa komuniti bakal diadakan pada 15 dan 16 Okt depan dengan penglibatan 300 pakar bahasa.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata konvensyen kali pertama itu bakal menghimpunkan pengkaji, sasterawan, pengamal budaya dan orang awam bagi membincangkan peranan bahasa kolokial dalam membina identiti budaya serta kesepaduan sosial masyarakat.

Beliau berkata konvensyen itu diadakan rentetan penganjuran program Bicara Bahasa Kolokial peringkat negeri yang sedang dijalankan ke seluruh negara secara berperingkat bermula di Pahang pada 13 Julai tahun lepas.

"Kalendar penganjuran program ini dalam tempoh dua tahun masih berbaki empat siri pelaksanaan iaitu di Terengganu, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dengan Selangor menjadi negeri ketujuh melaksanakan program ini.

"Selepas itu, satu Konvensyen Bahasa Kolokial peringkat kebangsaan akan diadakan dengan hasil dapatan semua siri penganjuran akan dirangkum dan diterbitkan dalam bentuk Daftar Kata Bahasa Kolokial atau Ensiklopedia Bahasa Kolokial dan Prosiding Konvensyen Bahasa Kolokial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti "Merentasi Khazanah Dialek Selangor" di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud.

Jaafar Sidek berkata menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bahasa kolokial adalah bahasa percakapan atau bahasa basahan dan lazimnya digunakan dalam percakapan harian.

Beliau berkata bahasa kolokial tidak mementingkan peraturan bahasa sebaliknya lebih kepada kefahaman dan kemesraan antara penutur serta pendengar.

Dalam pada itu, Jaafar Sidek berkata selain dapatan daripada semua siri penganjuran Bicara Bahasa Kolokial berkenaan dibuku serta dijilidkan, maklumat berhubung bahasa kolokial itu yang terkumpul juga boleh diakses oleh orang ramai dalam bentuk bahan rakaman berbentuk video.

Beliau berkata penganjuran program Bicara Bahasa Kolokial peringkat negeri itu bertujuan mengisi kelompongan sumber rujukan pensejarahan negara berhubung bahasa berkenaan kerana ia sebahagian sumber rujukan sahih dan boleh dipercayai.

"Kami percaya masih banyak lagi maklumat berharga berkenaan bahasa kolokial, bahasa tempatan atau dialek etnik dan suku kaum yang belum dikumpul, dipelihara, didokumentasikan dan diterbitkan dan atas sebab itu kerjasama daripada semua pihak berkepentingan amat diperlukan Arkib Negara dalam menjayakan proses pendokumentasian berkenaan," katanya.

-- BERNAMA