Bekas ketua hakim negara, Tun Arifin Zakaria, akan mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RCI itu akan dianggotai lapan individu termasuk bekas ketua polis negara, Tan Sri Norian Mai.

"Minggu depan, saya akan berjumpa dengan semua anggota RCI ini di Kementerian untuk menyerahkan surat lantikan dan memberikan taklimat tentang latar belakang isu Wang Kelian. Daripada situ, mereka boleh memulakan kerja," jelasnya.

Katanya, pelantikan kesemua anggota suruhanjaya itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, suruhanjaya itu diberi tempoh enam bulan sebelum laporan mereka perlu diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diteliti.

Gambar keadaan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada 25 Mei 2015. - BERNAMA
Pada Mei 2015, sebanyak 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia ditemui di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.