KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengekalkan arang batu sebagai sumber utama penjanaan elektrik negara kerana kos penghasilannya yang lebih murah, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, langkah ini juga bertujuan memastikan kadar tarif tenaga elektrik kekal mampu ditanggung oleh pengguna.

"Kerajaan telah memberikan komitmen untuk memastikan bekalan tenaga elektrik negara mencukupi, mampan dan ditawarkan pada kadar yang berpatutan kepada pengguna.

"Kerajaan telah memberikan komitmen untuk memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi secara lestari dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna.

"Pada masa ini, sektor penghasilan elektrik Malaysia masih bergantung kepada dua sumber bahan api fosil utama, iaitu arang batu dan gas, untuk memenuhi pemintaan sumber penjanaan asas," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai peratusan tenaga elektrik yang dijana daripada arang batu setakat ini dan sama ada kerajaan mempunyai perancangan menggantikan teknologi ini dengan teknologi karbon sifar bersih.

Akmal Nasrullah berkata berdasarkan data terkini yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang diadakan pada 21 Nov tahun lepas, peratusan kapasiti terpasang (install capacity) di Semenanjung daripada sumber arang batu adalah sebanyak 36.4 peratus atau 12,183 megawatt.

"Mesyuarat JPPPET pada 7 Feb 2023 telah memutuskan bahawa tiada loji janakuasa arang batu baharu akan dibina. Keputusan ini bertujuan memastikan tiada lagi perancangan pembinaan loji baharu dalam unjuran Pelan Pembangunan Penjanaan (Power Development Plan, PDP) pada masa akan datang.

"Langkah ini juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2015 untuk mengurangkan intensiti pengeluaran gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk meneroka kaedah terbaik bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penjanaan elektrik.

"Ini termasuk meneroka potensi pelaksanaan 'mothballing' dan 'co-firing' serta teknologi baharu penghasilan sumber tenaga yang lebih bersih dan boleh diperbaharui termasuk penerokaan teknologi nuklear sebagai satu daripada sumber penjanaan elektrik negara," katanya.

-- BERNAMA