KUALA LUMPUR: Sebanyak 76,664 permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM17.86 bilion diluluskan sejak dilaksanakan pada 2008 hingga 31 Dis tahun lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah itu, sebanyak 68,594 permohonan adalah daripada kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah.

"Impak inisiatif pelaksanaan SJKP juga dapat dilihat menerusi trend bilangan pinjaman yang sudah diluluskan iaitu pada 2019 kita boleh lihat sejumlah 6,054 permohonan dengan nilai RM329.5 juta sahaja tetapi hingga 31 Dis tahun lepas, ia meningkat lebih 92 peratus dengan 76,664 permohonan dan nilaian sebanyak RM17.86 bilion.

"Selain itu, ia juga telah melebar luaskan akses kepada pembiayaan perumahan bagi pembeliaan rumah pertama khususnya kepada pelbagai pihak yang kurang mempunyai akses kepada pembiayaan perumahan seperti mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan penyata gaji temasuklah kumpulan gig ekonomi dan pekerja sektor tidak formal," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson W Angang mengenai sejauh mana impak inisiatif SJKP dan adakah ia meningkatkan kadar pemilikan rumah khususnya dalam kalangan golongan yang selama ini terpinggir atau tidak mempunyai akses dari segi pembiayaan perumahan.

Aiman Athirah berkata SJKP ini telah memberi manfaat kepada golongan muda dan golongan berpendapatan rendah dan sederhana selain merupakan manifestasi komitmen kerajaan khususnya melalui kementerian bagi memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal sama ada secara pemilikan atau sewaan.

-- BERNAMA