Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedia memberi perlindungan kepada nelayan tempatan yang ingin menangkap ikan di kawasan perairan negara yang lebih jauh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bagaimanapun para nelayan perlu memaklumkan APMM terlebih dahulu berserta butir-butir terperinci mengenai aktiviti mereka.

"Malah saya memberi tawaran kepada nelayan untuk menangkap ikan dalam kawasan Laut China Selatan kerana hasil tangkapannya agak lumayan dan APMM akan beri perlindungan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau mengulas dakwaan anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada sidang akhbar hari ini yang mendakwa keselamatan nelayan terancam apabila berdepan kapal-kapal besar penceroboh terutamanya nelayan asing di kawasan perairan negara yang jauh.

Terdahulu, sekumpulan nelayan dari Terengganu menghantar memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi meminta kementerian itu memberi perhatian terhadap masalah itu.

Shahidan juga berkata APMM dalam tempoh 10 tahun lalu telah menahan 866 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara, dengan jumlah terbesar dari Vietnam sebanyak 455 bot.

Yang lain dari Indonesia (292 bot), Thailand (99 bot), Filipina (tujuh), manakala China dan Singapura masing-masing enam dan sebuah bot dari Brunei.

"Penangkapan berkenaan menunjukkan APMM bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang tetapi memberi perlindungan kepada nelayan tempatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara bersedia memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu pengurusan pembinaan dan pembaikan rumah mangsa banjir 2014.

Katanya, walaupun urusan pembinaan rumah baharu mangsa banjir turut melibatkan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kerja Raya, agensi berkenaan bersedia menjawab segala soalan yang bakal dikemukakan PAC.

Terdahulu, ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pihaknya akan memanggil Jabatan Imigresen dan Jabatan Air Negeri Sabah serta Agensi Pengurusan Bencana Negara susulan laporan berkenaan.