Cubaan seorang tekong untuk menyeludup keluar 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dari negara ini melalui perairan Pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi, semalam berjaya dipatahkan apabila diserbu pihak berkuatkuasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata serbuan bersama Regimen Ke 6 Artileri Diraja yang bertugas di Pos Tanjung Sepang itu dilakukan pada pukul 8 malam setelah menerima maklumat orang awam.

Katanya, semua PATI terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia antara 23 dan 50 tahun itu, dilaporkan baru sahaja hendak menaiki bot ketika serbuan diadakan.

"Namun tekong yang dipercayai warga Indonesia itu meloloskan diri ke perairan negaranya menaiki bot setelah dikejar pihak berkuasa selama 20 minit," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata PATI terlibat pula ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Imigrisen 1959/63 kerana keluar atau masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.

Jika didapati bersalah, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau keda-duanya sekali.

Zulfadhli berkata warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman mereka dinasihatkan agar menggunakan laluan yang sah atau yang telah diwartakan, dengan membuat proses dokumentasi di Kedutaan Indonesia dan Pejabat Imigresen Malaysia supaya dapat pulang dengan selamat.

-- BERNAMA