Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu menemui sebuah tongkang yang didaftarkan atas nama 'Anand 12' yang dipercayai dirampas kumpulan militan Abu Sayyaf di kawasan perairan Filipina pada 26 Mac lepas.

Tongkang yang dipercayai milik Bot Tunda Brahma 12 ditemui dalam keadaan terapung lebih kurang 8.4 batu nautika timur laut Platform Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan 13.7 batu nautika dari tenggara Tanjung Tungku di sini.

Pengarah Maritim Daerah Sandakan, Kepten Maritim A. Razak Bin Abd Rahman ketika dihubungi berkata, tongkang tersebut dipercayai telah hanyut dari Terumbu Alice, Filipina dan memasuki perairan Malaysia.

Beliau turut memaklumkan ketika ditemui tiada orang berada di atas tongkang yang hanya mengandungi batu berwarna hitam dipercayai arang batu.


Menurut Razak, sebuah bot tunda yang disewa ESSCOM telah menunda tongkang tersebut ke Jeti Fordeco Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat PM17 untuk siasatan lanjut.

"Semasa operasi mencari, APMM telah menggerakkan dua aset dari Pangkalan Maritim Lahad Datu (PM 17) iaitu Bot Kilat 51 dan Banggi 35. Manakala Pasukan Polis Marin (PPM) menggerakkan Bot PA 47.

Operasi yang dimulakan pada jam 10.30 pagi dan berakhir sebaik ditemui pada jam 1.05 tengah hari adalah hasil kerjasama erat dari pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan PPM Lahad Datu," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

A.Razak berkata tongkang itu dipercayai telah hanyut dari Terumbu Alice, Filipina dan memasuki perairan Malaysia.

Katanya ketika ditemui tongkang itu dalam keadaan terapung di posisi 8.4 batu nautika Timur Laut Platform Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan 13.7 batu nautika Tenggara Tanjung Tungku.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati, tiada orang di atas tongkang dan tongkang tersebut mengandungi lebih kurang 7,000 tan metrik arang batu," katanya.

Dalam kejadian pada 26 Mac itu, bot tunda dan tongkang yang membawa arang batu dari Kepulauan Borneo ke Filipina itu dirampas kumpulan militan Abu Sayyaf manakala 10 kru bot tunda berkenaan, semuanya warganegara Indonesia, telah diculik untuk mendapatkan wang tebusan.