Pemangku Pengarah Maritim Johor Kepten Kama Azri Kamil berkata pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kayu tanpa pendaftaran yang mencurigakan dalam satu operasi kira-kira 12.30 tengah malam.
Beliau berkata terdapat tiga individu dikesan berada di atas bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka bertindak melarikan diri menuju ke kawasan paya bakau dan meninggalkan bot berkenaan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan sebuah beg berwarna biru gelap yang mengandungi 20 bungkusan teh cina dipercayai dadah jenis syabu untuk dibawa keluar dari Malaysia bagi kegunaan 100,000 penagih.
"Kesemua bungkusan dadah itu dirampas dan bot kayu berserta enjin turut disita bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kama Azri berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM700,000.
"Pada masa sama, kita akan meningkatkan rondaan dan pemantauan terutama di lokasi titik panas perairan ini bagi mengekang sebarang kegiatan penyeludupan barang terlarang termasuk dadah berbahaya," katanya.
-- BERNAMA