ALOR GAJAH: Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM3.3 juta di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor menerusi Op Khas Pagar Laut, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata sindiket penyeludupan rokok menggunakan bot pancung dipercayai dari Indonesia itu dikesan hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) kira-kira 10.20 malam.

Beliau berkata bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang sebelum bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran aset Maritim di kawasan berkenaan.

"Bot Maritim berkekuatan lima anggota mengejar bot pancung tersebut hampir 30 minit sehingga bot sindiket itu memasuki kawasan paya bakau sebelum pasukan berjaya menghampiri mereka di kedudukan 0.05 batu nautika barat laut muara Tanjung Gabang.

"Bagaimanapun dianggarkan empat hingga lima tekong dan awak-awak bot pancung itu bertindak terjun ke laut dan meloloskan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dalam keadaan gelap," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak di sini hari ini.

APMM berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM3.3 juta di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor sempena Op Khas Pagar Laut pada Selasa. - Foto BERNAMA





Saiful Lizan berkata hasil pemeriksaan ke atas bot pancung itu menemukan 455 kotak bersaiz besar berisi rokok kretek pelbagai jenama yang ditutup dengan kanvas, dipercayai dibawa masuk untuk pasaran selatan tanah air.

"Kita turut menyita bot pancung bersama enam enjin yang digunakan dalam cubaan penyeludupan itu dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan atau tanpa cukai.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman jenayah yang dilakukan di kawasan maritim negara, malah akan mengoptimumkan pengoperasian dengan melakukan rondaan di kawasan 'hotspot' khususnya pada musim perayaan Aidilfitri ini," katanya.

Beliau berkata orang ramai juga diminta menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia bagi menyalurkan maklumat dalam usaha memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan, dengan menghubungi talian MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam dan pusat operasi Maritim negeri berhampiran.

Dalam pada itu, katanya berkata Op Khas Pagar Laut yang dilaksanakan di seluruh perairan negara bagi mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan pada musim perayaan Aidilfitri ini membabitkan kekuatan 800 pegawai dan anggota serta 45 aset Maritim antaranya bot, kapal dan pesawat.

-- BERNAMA