Satu realiti baru wujudnya kumpulan warga miskin di Kuala Lumpur akibat krisis kos sara hidup.
Malah, isitilah ini kemudian diguna pakai bagi semua isi rumah denga kategori B40 (merujuk pada kumpulan 40 peratus terbawah dalam sistem ekonomi negara).
Isu miskin bandar kemudian tidak lagi dirujuk pada Kuala Lumpur. Kewujudan B40 diguna pakai pada semua isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekaligus mencakupi 4.1 juta isi rumah di negara ini.
Munculnya istilah ini menghapuskan realiti lama dengan istilah klasik "miskin pedalaman".
Kemiskinan tegar kini tidak lagi dikaitkan dengan demografi kawasan luar bandar.
Orang miskin bukan lagi istilah khusus kepada petani atau nelayan di desa. Tetapi jangkauan utamanya ialah warga kota yang bertarung menentang tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Lebih ironi: miskin bandar memiliki pekerjaan dengan segala macam kemudahan asas, serta bantuan pelbagai insentif - tetapi hakikatnya tetap hidup dalam serba kekurangan.
Paling asas, miskin bandar masih terbeban untuk akses kecukupan dan kualiti makanan.
Dalam isu miskin bandar, mengheret sinopsis novel "Ranjau Sepanjang Jalan" (RSJ) karya Shahnon Ahmad (1966) atau Peristiwa Demontrasi Baling (1974) sudah tidak lagi relevan.
Kisah kemelaratan keluarga Lahuma (RSJ) pada dekad 60-an kerana kegagalan Dasar Pertanian dan Pembangunan Ekonomi pada era Abdul Razak sebagai Perdana Menteri - dianggap "epik lama".
Begitu juga sejarah kebangkitan pelajar universiti berdemonstrasi membela petani miskin di Baling. Bagi realiti hari ini, kisah itu hanya sekadar catatan sejarah gerakan mahasiswa dekad 70-an.
EPIK YANG PENUH KRISIS
Pada 2013 - isu kos sara hidup mencipta fenomena yang samgat membebankan masyarakat marhaen di ibu kota.
Antara 2013 hingga 2018, harga barang melambung tinggi tetapi kos upah kerja sangat rendah. Malah, terdapat agensi kerajaan yang tidak menaikkan tangga gaji. Atau, sekadar 3 peratus bagi menyamai kadar inflasi.
Miskin bandar bukan lagi koloni terpencil dengan kisah lama mengenai isu beras dan ikan. Cerita miskin bandar juga bukan mengulangi tema lapuk mengenai harga padi dan getah.
Miskin bandar ialah kisah 3 juta juta isi rumah di semua bandar utama seluruh negara. Rakyat yang memiliki pekerjaan tetapi kekurangan daya beli.
Bagi 22% kanak-kanak bawah usia 12 tahun yang tinggal di 47,000 isi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur pula, nasibnya lebih buruk.
Laporan kajian UNICEF pada Februari 2018 mendedahkan: 22% kanak-kanak PPR mengalami masalah nutrisi. Atau isu kekurangan zat tumbesar akibat kekurangan makanan.
Ertinya, keluarga kanak-kanak ini berada pada tahap kemiskinan hingga tidak mampu menyediakan makanan lebih 2 kali sehari.
Malah, 60% pendapatan gaji warga kota B40 digunakan bagi melunaskan hutang.
Angka median pendapatan bulanan cara lama di negara ini masih meletakkan pendapatan di bawah RM980 sebagai garis kemiskinan.
Angka yang langsung tidak relevan dengan realiti hari ini.
Mitos median gaji ini meletakkan Malaysia kelihatan hebat dengan hanya 0.4% penduduk miskin.
Hakikatnya, median pendapatan bulanan yang realisitik telah disarankan Wakil Khas Pertubuhan PBB, Dr Phillip Alston. Angka unjuranmya ialah RM3,126 sebulan.
Namun, data realistik PBB ini enggan diterima. Hakikatnya kenapa median kajian Dr Phillip Austin ditolak?
Jawapannya mudah: Sekiranya median PBB diguna pakai - angka penduduk miskin di negara ini akan mencecah 20%.
Belum pun selesai isu debat berkaitan median pendapatan, muncul pandemik COVID-19.
Impaknya sangat memburuk dan terus mengubah perspektik mengenai isu ekonomi di negara ini. B40 bukan lagi doal miskin bandar. Sejuta orang kehilangan kerja. Sejuta syarikat SME gulung tikar. Angka "COVID miskin" semakin meluas.
COVID-19 CIPTA PANDEMIK EKONOMI
Perdebatan mengenai median RM980 atau median RM3,126 sekelip mata lenyap apabila COVID-19 menjerumuskan definisi miskin bandar kepada isu kehilangan pekerjaan dan kemerosotan perniagaan.
Dengan 4.7% atau lebih 750,000 penganggur pada Jun (berbanding 3.2% sebelum pandemik) pada awal Januari menyebabkan istilah miskin bandar diganti kluster miskin akibat gelombang pandemik.
Angka anggaran 800,000 orang yang kehilangan pekerjaan (Januari ke Oktober 2020) atau terjejas perniagaan hingga terpaksa gulung tikar muncul menjadi kluster utama akibat impak ekonomi COVID-19.
Kluster pandemik ekonomi kini berada di garisan kritikal.
Sama ada pilot dan kru kabin, CEO atau pelayan hotel, pengurus atau kerani agensi pelancongan - kesan ekonomi menyebabkan mereka turut hilang kerja.
Malah, pekerja di lebih 90,000 syarikat SME yang bangkrap kini turut berada dalam senarai miskin bandar.
800,000 orang yang kehilangan pekerjaan akibat kegawatan ekonomi atau puluhan ribu syarikat yang "bungkus" kerana ketiadaan aliran tunai - kini menyertai kluster miskin bandar versi COVID-19.
KISAH BEKAS PILOT DAN EKSEKUTIF HOTEL
(Diceritakan kepada saya oleh pemandu Grab ketika perjalanan dari Cheras ke Ara Damansara pada Isnin lepas)
Seorang bekas pilot yang memandu Grab menerima seorang penumpang bekas eksekutif hotel.
"Nak ke DBKL ada apa?" tanya pemandu Grab.
"Interview kerja," kata bekas eksekutif kilang.
"Oh... sesi awak hari inikah?"
Anak muda berusia 20-an yang menumpang Grab yang dipandu lelaki 40-an itu kelihatan kaget dengan soalan itu.
"Kenapa bertanya?" balas penumpang.
Pemandu Grab menjawab: "Sesi saya di DBKL semalam. Tapi rasanya saya akan gagal kerana bekas pilot mungkin dianggap tidak sesuai dengan jawatan bergaji RM3,000."
"Oh... semalam saya temu duga di restoran terkenal. Saya juga dikatakan tidak sesuai. Bekas eksekutif hotel dianggap tidak sesuai sebagai pelayan meja makan."
Begitulah tragiknya kehidupan. Bermula era miskin bandar dengan naratif: ada kerja tapi tak cukup makan, kini keadaan makin perit.
Ramai yang kehilangan kerja dan lebih ramai bakal kekurangan makanan.
Ya Allah... rahmatilah tanah airku dan kasihani kami.
APAKAH SASTERA PEDULI?
Persoalannya boleh dijawab dengan mudah.
Sastera tidak pernah peduli. Sifirnya mudah: Bermula dari pentadbir hingga ke penulis - semuanya lebih sibuk berfikir: "Manfaat diri sendiri!"
* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.