Akta Perlindungan Data Peribadi di negara ini dilihat masih belum cukup sempurna untuk melindungi maklumat individu daripada dibocorkan pihak ketiga melalui e-mel atau telefon.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, jaminannya kini dilihat semakin tidak kuat kerana 'gangguan' seharian yang diterima oleh pemanggil yang tidak dikenali.

"Ini bagi saya memang cukup penting kerana ia memastikan integriti maklumat-maklumat peribadi sentiasa terjamin, terpelihara dan tidak digunakan sewenang-wenang.

"Namun pada waktu ini, masih lagi kita kadang-kadang kita menerima panggilan telefon, pesanan ringkas atau e-mel yang datang daripada maklumat-maklumat yang kita tidak kehendaki," soalnya semasa sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Reezal berkata, situasi itu dilihat berbeza berbanding Singapura yang mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi yang diletakkan di bawah suruhanjaya tertentu.

"Ia mempunyai program yang menyenaraikan senarai nombor-nombor telefon yang kita tidak mahu terima kerana ia adalah merupakan penyalahgunaan data-data peribadi," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mengakui, sehingga kini, keperluan mendaftar program perlindungan data terletak di luar bidang kuasa Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

"Sekiranya mereka tidak mendaftar dengan agensi yang diperlukan tadi, ianya di luar bidang kuasa JPDP.

"Sebenarnya ialah bukan lebih kepada keperluan dari segi berapakah kesalahan ataupun penguatkuasaan, yang pentingnya ialah keperluan setiap syarikat tersebut mematuhi akta secara sepenuhnya," ujarnya.

Kata Jailani, kebocoran data peribadi dilihat lebih menjurus kepada transaksi yang berkaitan dengan komersial.

"Di sini kita menjuruskan kepada keperluan organisasi tersebut untuk mendaftar dengan pihak agensi dan jabatan.

"Terdapat lebih kurang 11 kumpulan yang telah diminta dan mendaftar iaitu dari segi aspek-aspek berkaitan dengan komunikasi, perbankan, insurans, kesihatan, pelancongan, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung, perkhidmatan hartanah dan utiliti," jelasnya.

JPDP adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertindak mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi [Akta 709] yang berkuat kuasa pada 15 November 2013.

Jabatan ini bertanggungjawab untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam sebarang transaksi komersial oleh pengguna data agar tidak disalah gunakan.