KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Paetongtarn Shinawatra yang dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan pemilihan Paetongtarn menjadikan wanita berusia 37 tahun itu sebagai Perdana Menteri Thailand termuda dan wanita kedua yang memegang jawatan berprestij itu.


Sebagai negara berjiran, Malaysia dan Thailand memiliki kerjasama penting berterusan, dibentuk melalui hubungan sejarah, budaya, dan ekonomi serta ikatan kekeluargaan yang erat.

Tambah beliau, ini dibuktikan menerusi kerjasama mencapai keamanan dan pembangunan di selatan Thailand yang menawarkan manfaat mendalam kepada komuniti di kedua-dua sempadan.

Perdana menteri turut menantikan peluang bekerjasama dengan Paetongtarn sekali gus membuka potensi penuh hubungan dua hala di antara negara.

Sementara itu, beliau juga menyampaikan penghargaan tulus kepada bekas perdana menteri Srettha Thavisin atas kepimpinan beliau mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.