VLADIVOSTOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Vladivostok, Rusia, bagi memulakan lawatan kerja dua hari beliau ke negara ini sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 yang bermula semalam hingga 6 September ini.

Terdahulu pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok kira-kira jam 6.30 pagi waktu Malaysia.

Ketibaan Anwar telah disambut oleh Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai; Pengarah Bahagian Asia Ke-3, Kementerian Luar Negeri Persekutuan Russia, Ludmilla Vorobieva; Naib Gabenor Wilayah Primorskii, Aleksei Nazdratenko dan Naib Datuk Bandar Daria Stegniy.

Bernama sebelum ini melaporkan antara program utama lawatan itu termasuk pertemuan bilateral dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, selain memberi ucaptama sewaktu sesi pleno di forum tersebut.

Perdana Menteri Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS, kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS pada 2024.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak memegang jawatan pada November 2022.

Turut mengiring Perdana Menteri dalam lawatan kali ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pegawai-pegawai kanan kementerian.