PUTRAJAYA : New Zealand dan Malaysia setuju memperluaskan perdagangan dua hala  dengan sasaran meningkatkan nilai perdagangan dua hala sebanyak 15 peratus menjelang 2030.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata, matlamat ini tidak hanya memperkukuhkan hubungan ekonomi tetapi juga meningkatkan kerjasama dalam sektor-sektor utama di antara kedua negara termasuk industri halal.

"Kerjasama ini adalah strategik bagi kedua-dua negara, terutamanya dalam mengurangkan halangan kepada aliran perdagangan, khususnya bagi produk utama seperti hasil pertanian dan produk tenusu.

"Kami juga kini sedang bekerja ke arah pelaksanaan pensijilan e-CO (Sijil Asal Elektronik) dan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang kastam, yang bertujuan untuk mempercepat dan memperlancar aliran perdagangan di sempadan.

"Ini sekal igus dapat meningkatkan kecekapan logistik antara Malaysia dan New Zealand," kata beliau dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Menurut Luxon juga, kedua-dua negara turut membincangkan pengukuhan pautan pendidikan dan pertukaran belia supaya generasi New Zealand dan Malaysia akan datang mempunyai hubungan erat.

Antara lain, perbincangan tertumpu kepada isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah perkongsian strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak kemakmuran, rakyat, planet, serta keamanan dan keselamatan.

Luxon kini dalam rangka lawatan ke Malaysia bermula semalam hingga 3 September.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri New Zealand pada November 2023.

Sebelum itu, Luxon diberikan sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Anwar sebaik tiba di Dataran Perdana, di sini.