PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugas secara rasmi bermula hari ini.

Kenderaan yang membawa beliau tiba di perkarangan bangunan Perdana Putra jam 9.52 pagi.

Sebaik sahaja tiba di pintu protokol, Perdana Menteri sempat melambaikan tangannya ke arah pengamal media yang berada di pintu masuk berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Tambun itu akan mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermula tugas beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Beliau selepas itu akan menuju ke pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Pasca PRU15 | Anwar Ibrahim tiba di Perdana Putra, mula tugas sebagai PM

Antara individu yang turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pemangku Panglima Angkatan Tentera iaitu Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. 

Difahamkan, Anwar bakal mengadakan sidang media di premis pejabatnya namun hanya terbuka kepada media rasmi sahaja untuk membuat liputan. 


Pasca PRU15 | Datuk Seri Anwar Ibrahim 'clock in' secara rasmi hari ini