Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan perkara itu ketika menjelaskan mengapa Malaysia tidak melaksanakan misi berkenaan menggunakan pesawat komersial.
Menurut Anwar, syarat menggunakan pesawat TUDM diberikan oleh kerajaan Mesir.
"Ada juga pihak yang mempertikaikan mengapa pesawat TUDM digunakan tidak pesawat komersial?
"Pihak di sana bukan sahaja tidak berterima kasih dengan usaha yang dijalankan TUDM, malah dicerca dan dituduh sebagai ejen pihak tertentu.
"Kita jadi negara pertama Asia yang lakukan misi ini, sebab barisan Kerajaan Perpaduan sepakat untuk sama jalankan tanggungjawab bersama, kehendak rakyat dan sokongan rakyat sebab itu kita bawa mereka (dapatkan rawatan) ke mari.
"Kenapa guna pesawat TUDM, kenapa tidak guna pesawat komersial? Kita ambil mereka (rakyat Palestin yang cedera) di sempadan... kena amaran dengan kerajaan Mesir, syaratnya mesti bawa pesawat TUDM kerana risikonya ada.
"Jadi yang datang itu tahu risikonya mungkin ditembak pesawat Israel. Sebab itu kena guna pesawat TUDM, tidak boleh naik pesawat komersial.
"Kita juga menggunakan rundingan, saya juga menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan meminta kerjasama kerajaan Mesir. Kita ada hubungan baik dengan Mesir, Arab Saudi, UAE dan Iran, yang membolehkan kita laksanakan misi ini.
"Syukur negara kita aman, boleh bantu mereka yang terima seksaan dan malapetaka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian penutup sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, di sini, hari ini.
Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa rakyat Palestin yang cedera, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 2 petang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyambut ketibaan rakyat Palestin, memaklumkan semua rakyat mereka yang dibawa ke Malaysia seramai 127 orang, terdiri daripada 41 pesakit rakyat Palestin dan diiringi oleh 86 waris.