KANGAR:Dua lelaki warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia -Thailand sehingga mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut direman selama empat hingga tujuh hari bermula hari ini.

Turut direman ialah 16 individu lain dipercayai anggota sindiket membekal dan menyeludup ketum di negeri Perlis yang terdiri daripada 15 penduduk tempatan serta seorang lelaki Thailand.

Tahanan reman ke atas kesemua mereka dibuat bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah terhadap kesemua mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kesemua suspek warga tempatan direman selama empat hari manakala ketiga-tiga lelaki warga Thailand akan direman selama tujuh hari bermula hari ini.



BACA: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

BACA: Anggota PGA ditembak sedang lakukan risikan sebelum diserang - KPN

BACA: Anggota PGA ditembak: "Suami tinggalkan kami sebagai wira negara" - Isteri

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua 16 tangkapan susulan kejadian dibuat di Perlis, seawal pukul 7 pagi pada Selasa.

Jelas beliau, kesemua mereka dipercayai anggota sindiket penyeludupan ketum di negeri itu.

Dalam kejadian pada pagi Selasa, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia -Thailand terbunuh akibat ditembak.

Ketika kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi, mangsa Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.