Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan setiap anggota keselamatan di sempadan negara agar sentiasa bersifat profesional, cekap dan bersiap sedia untuk melaksanakan apa jua misi atau tugasan.

Baginda bertitah dalam situasi 'dunia tanpa sempadan' kini, keadaan keselamatan tidak boleh diramal dan diduga kerana apa sahaja boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Apa sahaja yang berlaku kepada negara jiran akan turut memberikan kesan kepada negara kita akibat tiada 'sempadan' yang kukuh untuk menghalang segala bentuk ancaman.

"Oleh itu, semua pihak perlu sentiasa peka dan berwaspada bagi menghadapi sebarang perkara atau kejadian yang tidak diingini," titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya kepada anggota keselamatan dan petugas di sempadan Malaysia-Thailand di Masjid Kuandon di sini, pada Isnin.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Terdahulu, ketibaan Tuanku Syed Faizuddin yang merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Satun, Charuwat Kliengklao.

Hadir sama pegawai-pegawai daerah dalam wilayah Satun, Ketua Tentera dan Polis serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di sempadan Thailand-Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin turut singgah di Sekolah Khuan Don Wittaya di sini bagi menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs kemudian singgah di Masjid Khuandon di sini untuk berbuka puasa serta menunaikan solat Tarawih sebelum pulang ke Perlis.

-- BERNAMA