PUTRAJAYA: Anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di lapangan akan memakai kamera badan bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata langkah berkenaan adalah satu daripada usaha bagi memastikan penguat kuasa Maritim Malaysia melaksanakan tugas dengan penuh integriti khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

Beliau berkata Maritim Malaysia giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) selain turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

"Sebagai permulaan, (penggunaan kamera badan) digunakan penguat kuasa Maritim Malaysia yang mengiringi wang milik Bank Simpanan Nasional (BSN) ke Pulau Tioman sebelum pelaksanaannya diperluaskan setelah proses perolehan diluluskan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menekankan agar jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penerapan integriti kepada seluruh warga jabatan masing-masing.

Saiful Lizan memaklumkan Maritim Malaysia telah menggunakan Unit Pengawasan Bergerak (MSU) yang berfungsi sebagai radar bergerak untuk mengesan aktiviti mencurigakan di perairan negara sekali gus menjadi aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sedia ada.

"Maritim Malaysia turut mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 melalui Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) yang mampu menerima isyarat kecemasan dari pelbagai jenis suar," katanya.

-- BERNAMA