Menurut Zulkifli dalam hantaran di laman sosial, Hammad, 22 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.22 pagi tadi di sisi keluarga.
"Air mata deras mengalir menyaksikan sendiri Hammad menghembuskan nafas terakhir di sisi Abah. Abah sekeluarga sejujurnya amat sedih atas perpisahan ini.
"Jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membantu kami menguruskan Hammad daripada awal, sehinggalah ke liang lahad.
"Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap di pihak anakanda saya, Hammad," katanya dalam kemas kini tersebut, hari ini.
Jelas beliau lagi, solat jenazah dilaksanakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekitar pukul 9.45 pagi tadi.
Sementara itu, pentadbir laman Twitter Zulkifli menafikan dakwaan bahawa Allahyarham Hammad meninggal dunia akibat vaksinasi.
"Beliau tidak meninggal dunia kerana divaksin. Harap maklum," tulis hantaran tersebut.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata program Jalsah ‘Ilmiyyah yang dikendalikannya pada pagi Ahad, diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anaknya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Zulkifli memberitahu, Hammad meninggal dunia kerana mengalami kanser 'right soft tissue sarcoma' tahap empat ke lima.