Mayat bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan di dalam sebuah tong sampah di Pusat Komersil Seksyen 7, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dijumpai oleh seorang pekerja lori sampah yang sedang bekerja di kawasan tersebut kira-kira 7.51 pagi.

"Pekerja terlibat menemukan mayat bayi malang itu yang berbalut surat khabar dan dibungkus dalam plastik putih sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 7," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

-- BERNAMA