Anak kecil itu tidak menyangka saat itu merupakan malam terakhir dirinya tidur dengan ibu kesayangan.
Ibunya yang berusia 42 tahun itu dipercayai meninggal dunia dalam ‘tidur’ selepas beberapa kali terbangun menahan kesakitan di dada, sehingga memuntahkan darah.
Lebih memilukan, kawasan yang mereka tinggal iaitu di PPR Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor telah mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi setakat ini, sehingga menyebabkan jiran-jiran dipercayai tidak berani keluar rumah untuk membantu menguruskan jenazah wanita berkenaan.
Itu antara kisah pilu yang dikongsi Pengurus Eksekutif Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafiuedin Zainal Rasid dalam catatan terbaharu di Facebooknya, pada Jumaat.
"Malam tadi saya yang jaga Mak. Saya jaga Mak sampai Mak tidur," anak kecil berusia 8 tahun ini petah berkata-kata menceritakan kejadian malam tadi.
.
"Kakak kat mana waktu tu?" tanya saya pada anak perempuan arwah berusia 16 tahun.
.
"Saya tidur lepas tu saya dengar suara Mak jerit sebab sakit pukul 3 pagi, saya tengok adik dah jaga Mak kat bilik Mak, jadi saya tidur semula," jawab si kakak.
.
"Mak jerit sakit. Saya urut tangan Mak, dada Mak. Tiba-tiba Mak muntah darah lepas tu Mak pun tidur. Bila Mak tidur saya pun tidur," sambung anak bongsu arwah lagi.
Muhammad Rafiuedin atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Rafie dalam catatannya berkata, jenazah wanita berkenaan dimandi dan dikafankan di dalam rumahnya, dan beliau dimaklumkan kawasan perumahan tersebut mempunyai banyak kes positif COVID-19.
.
Tambahnya lagi, akibat penularan pandemik berkenaan, jiran-jiran yang lain tidak berani untuk menjejakkan kaki ke luar rumah demi menjaga keselamatan diri mereka, kecuali dua orang jiran rumah arwah yang sudi membantu menguruskan jenazah arwah.
“Anak yang paling kecil itu menangisi pemergian ibunya. Dia peluk ibunya. Sedang di tangannya masih ada mainan kecil mungkin sekadar untuk mententeramkan diri sendiri.
“Saya pegang bahunya tenangkan dirinya. Kemudian kami mendirikan solat jenazah di situ sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Bekas suami arwah juga turut bersama membantu dari awal hingga akhir,” kongsinya lagi.
Biarpun suami wanita berkenaan tidak mampu membuat bayaran, Ustaz Rafie berkata, kesemua itu ditanggung oleh skuad pengurusan jenazah yang beliau kendalikan.
“Menangis dia. Nak dipeluk saya, tapi segera dia ingat keadaan sekarang membatasi pergerakan sosial.
“Alhamdulillah, jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya pada jam 5.30 petang. Terima kasih kepada Encik Fendy dan petugas tanah perkuburan yang membantu memudahkan urusan pengebumian arwah,” katanya lagi.
Al-Fatihah.
Individu yang ingin membantu boleh menyalurkan dana ke *PERTUBUHAN SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA* (PPM-026-14-24012018)
BSN: 1410-0410-0030-6186