Biarpun berat namun begitulah lumrah kehidupan, setiap cabaran, mahu atau tidak perlu ditempuhi demi kelangsungan kehidupan.
Banjir atau tidak, kehidupan perlu diteruskan dan itulah yang bermain di kepala Wong Ka Chuan, 52, yang merupakan salah seorang mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor.
Anaknya, yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, 17, akan mengambil Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Selasa, iaitu esok.
Ka Chuan yang merupakan peniaga ubat di bandar Kota Tinggi sanggup meredah air sehingga paras dada untuk mengambil kelengkapan anaknya di kedai miliknya.
“Esok anak saya ada ujian SPM. Kena ambil barang sikit di kedai.
“Terpaksa redah juga, yang penting dia boleh jawab peperiksaan esok,” katanya sambil ditemani anaknya di sebelah, yang sama-sama meredah banjir.
“Esok saya ada ujian bertutur di SMK Laksamana. Tadi ambil barang sikit, esok nak bawa ke sekolah,” kata Wong.
“Saya dah buat persiapan rapi. Harap esok semua okay,” ujarnya.
Setakat jam 7 malam ini, pusat bandar Kota Tinggi masih ditenggelami air dengan semua kedai ditutup susulan tiada bekalan elektrik di kawasan tersebut.
Cuaca pada petang Isnin menyaksikan tiada hujan lebat, cuma hujan renyai dalam beberapa minit.
Tinjauan juga mendapati air sudah semakin surut dan dijangka berterusan sekiranya tiada hujan lebat pada malam ini.