Remaja istimewa, Ammar Muzakhir yang hilang sejak petang Khamis ditemui di Putrajaya lebih kurang 15 jam selepas beliau dilaporkan hilang.

Bapanya, Mohammad Khuzaini Ismail berkata, anaknya yang berumur 14 tahun itu muncul di rumah saudaranya di Presint 11, Putrajaya lebih kurang pukul 7.15 malam tadi.

"Jiran makciknya di Putrajaya beritahu kami, Ammar datang kerumahnya tetapi tiada orang. Waktu itu, jiran sebelah rumah notis kehadiran Ammar tapi tidak mengetahui bahawa Ammar hilang.

"Dan hari ini Ammar sekali lagi datang kerumah makciknya dan ingin tumpang ke tandas. Kali ini jiran tersebut memberitahu makciknya setelah melihat berita kehilangan Ammar tersebar di laman sosial.

"Jiran tersebut tidak benarkan anak saya keluar dan terus menelefon makciknya.

"Ammar datang dan meminta sejumlah wang untuk tambang pulang kerumah, tapi jiran tersebut tidak benarkan," katanya.

Ammar yang juga anak saudara kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad kali terakhir dilihat menaiki LRT dari Gombak.

Nik Nazmi yang sebelum ini menghebahkan berita kehilangan anak kepada kakaknya itu melalui Twitter turut menggunakan jaringan media sosial itu untuk memaklumkan penemuan tersebut.