KUALA LUMPUR: Amalan pemberian duit raya sudah sinonim dengan masyarakat Islam di Malaysia tidak kira kepada kanak-kanak mahupun golongan dewasa, setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata amalan itu adalah satu daripada cara untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam selain membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Justeru, beliau berkata umat Islam seharusnya mengutamakan golongan asnaf dalam kalangan kaum kerabat mereka terlebih dahulu, sebelum masyarakat luar dalam apa jua perkara termasuk pemberian sedekah ataupun duit raya.

"Ada pepatah Arab pun menyebut yang bermaksud 'kamu berbuat baik dengan seseorang itu, kamu akan dapat menawan hati dia'," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Idris berkata tidak kira sama ada si pemberi menganggap pemberiannya adalah sedekah, duit raya ataupun bantuan kebajikan ia bergantung kepada niat masing-masing.

"Kalau nawaitu (niat) dia hendak menunjuk-nunjuk, namakanlah sedekah, duit raya atau amal, (tetap) tidak beroleh pahala," katanya.

Senada dengan Idris adalah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah yang berkata duit raya boleh dianggap sebagai sedekah atau hadiah, mahupun hibah bahkan zakat, bergantung kepada niat pemberi itu sendiri.

"Kalau penerimanya (tergolong) daripada (kalangan) orang miskin, (duit raya tersebut) dianggap sebagai sedekah, kalau diberi sebab perayaan apa-apa dipanggil hadiah, kalau diberi (ketika) tiada sebarang majlis dianggap sebagai hibah," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata amalan pemberian duit raya lebih bersifat budaya setempat di Malaysia manakala di beberapa negara Arab lain mungkin mempunyai amalan sama tetapi tidak dengan pemberian wang.

"Tetapi ia bukanlah sesuatu bercanggah dengan agama kerana asasnya hari raya itu ialah kita melakukan aktiviti yang boleh memberi kegembiraan dan beri duit raya itu (boleh) menimbulkan kegembiraan.

"Bahkan ia adalah budaya terpuji kerana mempunyai elemen-elemen sedekah ataupun hadiah yang kedua-duanya amalan baik di sisi agama," katanya.

Namun, jika ia menjadi satu budaya memaksa ataupun sekiranya tidak memberi duit raya akan menimbulkan salah sangka, maka ia adalah satu hal yang tidak bagus, menurut Mohd Asri.

"Jadi kita kena melihat, kalau ia menyebabkan berlakunya satu tekanan hingga orang tidak berani hendak terima tetamu kerana tidak ada duit raya dan seumpamanya, itu negatif.

"Kalau ia tidak sampai peringkat itu sebaliknya menimbulkan hubungan baik dan kasih sayang ataupun kegembiraan pada hari raya, ia suatu yang baik," katanya.

-- BERNAMA