Aliran trafik perlahan di KM 148.2 arah utara dari Bukit Tambun ke Juru sejak pukul 9 pagi ini akibat kemalangan membabitkan dua lori.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan dan tiada lorong yang terhalang disebabkan kemalangan itu.

"Trafik di lebuh raya utama negara pula dilaporkan berjalan lancar setakat 10 pagi ini dan tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilaporkan bergerak lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata aliran trafik LPT 2 di kedua-dua arah juga bergerak lancar tanpa sebarang gangguan.

"Keadaan trafik sekarang adalah lancar dan kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kemalangan setakat ini," katanya.

Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.