PUTRAJAYA: Datuk Alice Jawan Empaling dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) selama tiga tahun berkuat kuasa 28 Mac 2023 hingga 27 Mac 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam satu kenyataan hari ini untuk mengumumkan pelantikan itu berkata Mavcom akan mendapat manfaat besar daripada pengalaman Alice dan berharap dapat bekerjasama dengannya.

Beliau ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sejak 1 Okt 2022.

Alice juga memegang beberapa jawatan pengurusan kanan dan lembaga pengarah di Sarawak termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Boya dan Api Sarawak, Pengerusi Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak dan Timbalan Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak.

"MoT dan Mavcom berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Alice ke Suruhanjaya. Kepakarannya, pengalaman luas dan semangat untuk berkhidmat kepada orang ramai akan memainkan peranan penting dalam memacu industri penerbangan Malaysia," kata Loke.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman Alice yang luas akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan usaha Mavcom untuk menggalakkan industri penerbangan yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata penyertaan Alice sebagai anggota Suruhanjaya akan dapat memangkinkan pelbagai pelaksanaan inisiatif Suruhanjaya terutamanya yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak iaitu Perkhidmatan Udara Luar Bandar di kawasan pedalaman kedua-dua negeri.

"Pelantikan beliau juga mampu membawa perspektif wanita dalam bidang pengangkutan terutamanya udara. Pihak Mavcom yakin beliau dapat memberikan sumbangan dalam menambahkan lagi kepelbagaian dan keterangkuman yang juga akan memberi kesan positif kepada Suruhanjaya," katanya.

-- BERNAMA