PUTRAJAYA:Sebarang aktiviti ekonomi melibatkan unsur nadir bumi (REE) yang mengandungi material radioaktif semula jadi (NORM) adalah tertakluk di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Menurut Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), kawalan perundangan ke atas unsur nadir bumi REE yang mengandungi NORM adalah di bawah akta berkenaan sekiranya kandungan keradioaktifannya (uranium dan torium) melebihi had yang ditetapkan.

AELB dalam kenyataan pada Khamis berkata bahan mineral yang berada di dalam bumi secara semula jadi mengandungi bahan radioaktif NORM.

"AELB akan memastikan kesemua keperluan perundangan yang berkaitan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan pekerja dan orang awam serta memelihara alam sekitar daripada sebarang potensi bahaya sinaran mengion," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah dianugerahkan permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak sumber mineral jenis REE di negeri itu.

Menurutnya, Kedah memiliki deposit mineral itu dianggarkan berjumlah RM62 bilion dan syarikat berkenaan diberi kelulusan itu minggu lepas untuk melakukan kerja-kerja penerokaan di satu kawasan di Kedah.

-- BERNAMA