Tragedi tujuh tahun lalu masih tersemat di minda Mohd Sohibollah Saad apabila letupan 200 mercun bola mengakibatkan mata kirinya buta.

Malah lelaki yang berusia 34 tahun dari Kampung Kuala Kangkong Sala, dekat Yan, Kedah masih trauma setiap kali mendengar bunyi mercun.

Sobihollah menceritakan kisah yang menimpanya tujuh tahun lalu apabila hasrat kali pertama dia dan jirannya untuk bermain mercun itu bertukar menjadi tragedi.

Pada mulanya dia sukar untuk menerima kenyataan dan mengambil masa untuk memulihkan semangat bagi meneruskan hidup.

"Memang saya trauma terutamanya selepas dibenarkan pulang dari wad. Setiap kali saya terdengar bunyi mercun, saya akan peluk bantal.

"Jadi nasihat saya, terutamanya kepada ibu bapa, janganlah beli mercun untuk anak-anak termasuk bunga api. Tidak perlu nak seronok lebih sangat.




Mengimbas kembali tragedi yang berlaku pada 2012, katanya sebelum kejadian hatinya meronta-ronta ingin bermain mercun malah itu adalah kali pertama dia membeli mercun bola itu.

"Pada petang Ramadan kelapan saya membawa kira-kira 200 biji mercun bola di dalam beg untuk bermain di tepi pantai.

"Setelah mencucuh dalam 10 biji mercun, sebiji mercun yang dinyalakan tadi termasuk ke dalam beg saya.

"Saya hanya sempat membaling beg itu namun tidak sempat melarikan diri dan serpihan mercun itu terkena mata saya," jelasnya.

Tragedi tu mengubah kehidupannya dan sentiasa menyesali keputusan yang dibuatnya sebelum ini.

Selepas menjalani pembedahan mata pertama pada 2016 untuk digantikan dengan mata palsu, Mohd Sohibollah perlu melakukan pembedahan kedua kerana mata palsu lamanya tidak sesuai dipakai.