Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menitahkan ahli jawatankuasa kariah masjid atau penceramah yang diberikan tauliah supaya melepaskan jawatan sekiranya mereka mempunyai agenda dan cita-cita politik sehingga menyalahgunakan masjid.

Baginda bertitah individu-individu berkenaan hendaklah secara jujur, ikhlas, mulia lagi terhormat mengundur diri daripada bersifat gunting dalam lipatan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang menodai kesucian politik.

"Amatlah janggal, jika para penceramah yang diberikan tauliah, penghormatan untuk berceramah di dalam rumah Allah menyalahgunakan amanah dengan menyelitkan dalam ceramah mereka unsur-unsur yang mencerca, menyindir dan merendahkan petugas-petugas Jabatan Agama Islam Negeri serta Polis Diraja Malaysia," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid negeri Perak Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menegur tindakan individu-individu daripada kumpulan politik tertentu menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik serta bukan kerajaan (NGO) dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan di dalam atau kawasan masjid.


Titah Sultan Nazrin program yang membawa jenama tertentu itu dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat.

Sultan Nazrin juga bertitah musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecah belah ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan.

"Kebenaran dikorbankan kerana emosi sudah mengatasi kerasionalan. Fitnah menjadi lumrah, diolah termasuk oleh kalangan yang mematuhi kesemua lima Rukun Islam dan penyebaran fitnah dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial," titah Sultan Nazrin.

Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut mengimbau sejarah pembinaan beberapa masjid terkemuka di Perak antaranya Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar yang diiktiraf antara lima masjid tercantik di dunia; Masjid Panglima Kinta yang berusia 121 tahun; Masjid India Muslim dan Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina Muslim yang semuanya di bandaraya Ipoh.

Sehubungan itu, baginda menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak supaya mendokumentasikan sejarah pembinaan masjid secara digital sebagai bahan ilmiah berharga untuk dijadikan rujukan agar generasi akan datang mengenali serta memahami asal usul pembinaan rumah-rumah Allah itu.

"Agar mereka tidak mengambilnya secara mudah lantas bersifat kacang lupakan kulit, tidak menghargai penat jerih, jasa bakti pengorbanan generasi terdahulu yang mengambil tanggungjawab mengusahakan pembinaan masjid-masjid di negeri Perak," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah berdasarkan rekod terdapat 609 masjid, 63 surau diri Jumaat dan 1,945 surau di Perak ketika ini dengan setiap satu memiliki identiti serta sejarah tersendiri di sebalik pembinaannya.

-- BERNAMA