Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata baki 30 peratus lagi dibenarkan bercuti secara penggiliran bagi memastikan kekuatan keanggotaan mencukupi.
"Kita ingin pastikan keseluruhan anggota kita berada pada tahap yang optimum dan kita juga terus bekerjasama dengan polis.
"Bomba sebagai tonggak penyelamatan negara juga akan memainkan peranan sewajarnya dan 11,500 anggota bersiap sedia 24 jam," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ops Siaga Raya sempena Aidilfitri 2025 bermula 29 Mac hingga 3 April di sini hari ini.
Dalam aspek insiden kebakaran, beliau berharap trend kebakaran semasa musim perayaan Aidilfitri mencatatkan penurunan pada kali ini menerusi Ops Siaga Raya.
Dalam tempoh Ops Siaga Raya 2024, sebanyak 1,303 panggilan kes kebakaran direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 1,068 kes pada 2023.
"Tahun ini kita sasarkan supaya trend menurun. Ini memerlukan kerjasama semua pihak kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.
"Semua pihak sebelum pulang ke kampung halaman, pastikan semua suis di rumah dimatikan," katanya.
Sementara itu, Nga berkata JBPM akan siap sedia di 12 lokasi sepanjang jajaran lebuh raya utama negara merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang dalam Op Selamat 2025 di bawah kelolaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
-- BERNAMA
