Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengingatkan para peniaga agar menjual barang mengikut harga siling yang ditetapkan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat peniaga yang engkar dan menjual barang terkawal melebihi harga siling mereka akan dikenakan tindakan tegas kerana mengaut keuntungan dengan cara salah.

"Bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling, seramai 1,800 orang pegawai penguatkuasa telah pun kita gerakkan di pasar-pasar di seluruh negeri.

"Tidak cukup dengan itu, skuad pengguna dan pusat-pusat aduan juga telah disediakan di pasar-pasar bagi membolehkan pengguna membuat aduan secara terus," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata penyediaan pusat-pusat aduan itu membolehkan pegawai penguatkuasa mengambil tindakan terus kepada penjual sebaik sahaja aduan pengguna.

"Memang jelas bahawa peniaga tidak boleh menjual barang lebih daripada harga yang telah ditetapkan tetapi jika mereka ingin menjual dengan harga lebih murah, kita alu-alukan," katanya.

Mengulas mengenai kekurangan minyak diesel di Sabah, Bashah berkata isu itu tidak berlaku seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

"Minyak sebenarnya cukup, cuma penghantaran minyak kepada pengguna di Sabah agak lambat kerana seperti yang kita sedia maklum untuk menghantar minyak ke Sabah dan Sarawak kadang-kadang mengambil masa yang lama kerana perjalanan jauh.

Sehubungan itu, katanya syarikat minyak yang terlibat telah diminta menghantar bekalan minyak secepat mungkin bagi memastikan minyak tidak berkurangan," katanya.