Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mahu campur tangan orang berpengaruh dalam siasatan polis susulan laporan yang dibuat oleh Ketua Wira Perkasa Bahagian Lenggong, Saad Abdul Rahman.

Saad mendakwa cedera di muka dan menerima tiga jahitan akibat ditumbuk Ketua Pemuda UMNO bahagian yang sama pada kejadian yang berlaku Khamis lalu.

"Saya serah kepada pihak polis untuk membuat siasatan. Saya harap pihak polis dapat buat siasatan dengan telus dan saya percaya pihak polis akan berbuat begitu.

"Saya tidak mahu mana-mana pihak untuk menggunakan pengaruh untuk campur tangan siasatan polis," kata Ibrahim dalam satu sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa Saad sebenarnya terjatuh kerana berada di bawah pengaruh dadah.

"Saya dapat tahu bahawa polis telah mengambil ujian air kencing dan beliau bebas daripada dadah. Dakwaan bahawa beliau terjatuh kerana pengaruh dadah tidak benar. Beliau ditumbuk," tambah Ibrahim.

Beliau turut memuji Saad yang merupakan antara wira Perkasa yang aktif ketika melaksanakan bantuan banjir.

"Biasalah bila ada sesiapa yang menonjol, ada yang cemburu. Tapi ini kes yang terpencil, dan berlaku di Lenggong sahaja," kata Ibrahim.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 2.25 petang Khamis ketika majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir yang diadakan di Dewan Kampung Kelantan, Lenggong.

Insiden itu tercetus apabila mangsa mendakwa dihampiri seorang lelaki yang dikenalinya sebagai Iruan dan meminta Perkasa jangan mengganggu urusan Pemuda UMNO.