KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempercepatkan usaha pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan tindakan perundangan di negara ini.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata usaha itu juga selaras dengan semangat reformasi yang diperjuangkan oleh Kerajaan Perpaduan.

"Saya berharap pihak kerajaan boleh memberikan tempoh masa setahun untuk menyempurnakan langkah pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

"Hanya dengan langkah ini saya percaya kita dapat meyakinkan rakyat bahawa semangat reformasi yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini masih membara dan bukan seperti yang dilaungkan oleh pihak tertentu," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi DAP itu turut meminta Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memberikan penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Lim berkata kerajaan harus mengakui bahawa terdapat banyak pihak yang kurang berpuas hati dengan keputusan itu termasuk Majlis Peguam Malaysia.

"Saya rasa kalau dengan penjelasan yang lebih menyeluruh dan telus, ia akan dapat meyakinkan rakyat tentang apa yang diputuskan pihak peguam negara," katanya.

Menyokong hasrat untuk memperkasakan institusi perundangan negara Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mencadangkan supaya proses Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi wajar diadakan secara pendengaran awam (live telecast) kerana ia telah menjadi isu yang mendapat perhatian umum.

"Saya tak nak pertahan siapa-siapa di sini, kalau salah (tetap) salah, sebab itu saya minta pendengaran itu bukan dihadiri oleh Ahli Parlimen sahaja, sewajarnya ia dibuat melalui pendengaran terbuka supaya semua pihak boleh mendengar penjelasan peguam negara," katanya.

Beberapa Ahli Parlimen lain turut menyentuh perkara itu pada sesi perbahasan sebelah pagi, antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi William Leong Jee Keen berkata jawatankuasa itu akan memanggil Ahmad Terrirudin untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Katanya, bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan satu laporan akan dibentangkan selepas prosiding itu dilaksanakan.

-- BERNAMA