Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyokong langkah kerajaan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Baginda turut menyambut baik usaha untuk menstabilkan harga minyak serta memberikan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk meringankan beban rakyat.
"Beta mengalu-alukan pendekatan Kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat," titah Baginda.
Sultan Muhammad V berharap semua kejayaan yang dicapai negara sebelum ini akan dipertingkatkan.
"Justeru, kerajaan, pihak swasta dan rakyat perlu terus bekerjasama dalam usaha menyusun masyarakat terutama memperbaik ekonomi rakyat yang masih terpinggir.
"Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai dasar diskriminasi perkauman, tetapi sebagai usaha untuk menebus ketidakadilan sosial yang telah diwarisi sekian lama," titah Baginda.
Sultan Muhammad V bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.


BACA: Agong rasmi pembukaan Sidang Parlimen ke-14