MIRI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, Brunei, malam tadi.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, majlis berkenaan dihoskan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke Brunei sejak Khamis malam dan bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum meneruskan persinggahan di Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo, hari ini.

Kembara Kenali Borneo akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri dan beberapa acara sambutan turut dirancang di bandar itu sebelum konvoi bergerak ke Bekenu dan Bintulu, esok.

Kembara Kenali Borneo di Bumi Kenyalang turut melibatkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 Sept ini.

Khamis lalu, konvoi berkenaan yang merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah untuk mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah mengakhiri pengembaraan di Bumi di Bawah Bayu sejak ia bermula pada 3 Sept lalu.

Kembara Kenali Borneo selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-- BERNAMA