KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Negara bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Negara sekitar jam 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlebih dahulu tiba pada jam 8.05 pagi.

Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda dan Perdana Menteri masing-masing mengenakan pakaian lengkap Baju Melayu berwarna hijau dan biru.

Sementara itu, solat sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni yang turut merangkap sebagai khatib.

Khutbah yang bertajuk 'Aidilfitri Lebih Bererti' antara lain menyentuh mengenai kepentingan untuk saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Tambahnya lagi, Aidilfitri juga bukanlah penamat bagi umat Islam untuk meninggalkan ibadat seperti pada bulan Ramadan yang telah berlalu pergi.

"Hari Raya Aidilfitri merupakan momen terbaik untuk kita memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita dan peluang kita memohon kemaafan daripada orang lain apa- apa jua kesalahan yang telah kita lakukan terhadap mereka.

"Hari raya bukanlah penamat kepada usaha kita melipatgandakan amal ibadat sepertimana yang kita lakukan dalam bulan Ramadan bahkan ia sebagai momentum penerus dari kebaikan-kebaikan yang telah kita latih dari Madrasah Ramadan untuk menuju ke hari akhirat kelak," katanya ketika menyampaikan khutbahnya pada Sabtu.

Selesai solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah dan Perdana Menteri dijadual menuju ke Istana Negara bagi menghadiri santapan Aidilfitri.



Dalam pada itu, Baginda dan Perdana Menteri turut mengambil peluang bersalaman dengan para jemaah yang hadir.

Turut kelihatan hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Masjid Negara mula dibanjiri para jemaah seawal jam 7 pagi dengan anggaran 10,000 jemaah yang hadir memeriahkan pagi Syawal.