Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan diraja Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam ini.

Majlis Malam Mess Diraja itu diadakan di sebuah hotel di sini sempena sambutan Hari Polis ke-206 tahun ini yang bertemakan 'Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami'.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri Tengku Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail dalam ucapan pada majlis tertutup itu menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan pasukan keselamatan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berjuang di Lahad Datu serta perairan pantai timur Sabah yang dikenal pasti sebagai tempat persembunyian pengganas.

"Sokongan seperti inilah yang telah menyuntik semangat kami untuk terus berjuang mempertahankan tanah air daripada serangan pengganas yang cuba mengeruhkan keamanan di negara kita yang tercinta," katanya.

Sambutan Hari Polis ke-206 Isnin ini akan mengetengahkan revolusi kepolisian negara sejak zaman Kesultanan Melayu sehingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Hari Polis disambut setiap tahun bagi mengenang jasa dan mengingati sejarah penubuhan pasukan keselamatan yang banyak menabur bakti kepada negara termasuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis.