Media luar negara, khususnya Barat dilihat sentiasa berlaku kurang adil dalam melaporkan isu dalam negara.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, kebelakangan ini media asing kerap mengaitkan beberapa laporan sehingga menghasilkan dokumentari yang mempunyai agenda mengelirukan.

Media tersebut membuat laporan tentang isu penting yang bertentangan dengan keputusan walaupun telah diputuskan dan dijawab oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Apabila ia telahpun dijelaskan pihak yang bertanggungjawab dan tiada masalah mengenainya, sudahlah.
Mereka sentiasa bermain dengan isu yang sama,” kata Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak .

Tajuddin turut mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bekerjasama dengan media antarabangsa yang dikawal Yahudi dalam usahanya menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, bekas perdana menteri itu yang selama ini lantang mengutuk Zionis kini bersekongkol dengan 'musuh'nya dalam melunaskan agendanya.

"Saya dimaklumkan beliau menggunakan media luar, dan kebanyakan mereka adalah dikawal Yahudi.

"Jadi mereka ini wartawan dan koresponden, mereka juga manusia biasa yang pastinya ada harga untuk dibayar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Tajuddin lagi, Yahudi ketika ini tidak gembira dengan pencapaian Malaysia dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan negara.