Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata remaja berusia 16 tahun itu ditemui di rumah keluarga angkatnya di Jalan Sikmat Lama, Seremban Putra.
"Sebarang maklumat mengenainya akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Nur Khalisya dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah pada 25 Februari lalu.
Kali terakhir Nur Khalisya dilihat ialah di hadapan sekolahnya, Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Laporan polis dibuat ibu remaja itu yang berusia 44 tahun pada pukul 11.29 malam hari sama, memaklumkan dia menghantar anaknya ke sekolah kira-kira pukul 7 pagi.
Jelas ibu mangsa, dia datang semula ke sekolah pada pukul 4 petang untuk mengambil Nur Khalisya namun remaja itu tiada.
Ibunya kemudiannya menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan Nur Khalisya sudah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel.
