KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum bebas daripada tuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menegaskan, kenyataan peguam bela Amer Hamzah Arshad mengenai laporan analisis kewangan SPRM di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin, hanyalah berbentuk hujahan.

Amer Hamzah semalam berhujah laporan tersebut sebelum ini membebaskan anak guamnya.

Bagaimanapun, di sebalik laporan itu, beliau berhujah anak guamnya itu masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram. 

"Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan," demikian menurut SPRM, hari ini. 

BACA: Analisis kewangan SPRM bebaskan Azeez daripada rasuah - Peguam beritahu mahkamah

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan.

Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin.