Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mendakwa wujudnya usaha yang mahukan hak Imigresen Sarawak dimansuhkan.

Abang Johari berkata cadangan itu disampaikan kepadanya oleh seorang individu bergelar 'Timbalan Menteri' dari Semenanjung baharu-baharu ini.

"Ada seorang pemimpin, level Timbalan Menteri datang kepada saya meminta kita (Sarawak) supaya memansuhkan hak Imigresen. Individu itu berkata kepada saya 'it's about time for us (Sarawak) not to have imigration control' (sudah tiba masanya bagi kita (Sarawak) tidak mengawal Imigresen.

"I said no (Saya katakan tidak). Hak Imigresen adalah perkara yang harus kita pertahankan kerana kuasa Imigresen adalah kuasa kita sepertimana termaktub di dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia (MA63)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Mengenai mesyuarat hampir tiga jam itu, Abang Johari berkata anggota Majlis Tertinggi PBB berbincang serta mengenal pasti Belanjawan 2019 yang diumumkan semalam untuk mengatur mekanisme penerangan serta pembangunan yang akan dijalankan di negeri ini.

"Tadi kita berbincang mengenai belanjawan Persekutuan yang diumumkan semalam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita berterima kasih kerana diberi peruntukan berjumlah RM 4.3 bilion itu, tetapi kita tidak tahu butir projek yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA