89 mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Simpang Tiga, Bagan Datoh dan Kg Serapoh, Parit.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rosmawati Ishak berkata 21 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Simpang Tiga dan jumlah mangsa ketika ini adalah 79 orang.

"Manakala bagi pusat mangsa banjir di Kg Serapoh, 3 keluarga membabitkan 10 orang ditempatkan di situ," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat malam.

Sementara itu, pihak operasi Balai Bomba dan Penyelamat melaporkan 13 orang dari empat keluarga dipindahkan ke surau Buluh Kuning, Kg Serapoh, Parit berikutan parai air naik mendadak.

Di Simpang Pulai, banjir kilat turut menyebabkan 50 penduduk di sekitar Taman Pulai Raya dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Komuniti, Taman Bersatu.

Dalam perkembangan lain, bomba memaklumkan 5 keluarga di sekitar Kampung Sungai Batu, Pantai Remis dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di Tebuk Yan 2 berikutan insiden tanah runtuh.

Secara keseluruhan, 46 keluarga membabitkan 168 orang sudah dipindahkan ke lima pusat pemindahan seluruh Perak sebagai langkah keselamatan akibat banjir dan tanah runtuh.